Maskahwin adalah pemberian yang wajib
diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab
perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Berikanlah kepada orang-orang
perempuan itu maskahwin mereka ". (Surah An-Nisaa' -
Ayat 4 )
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud
:
"Carilah untuk dijadikan maskahwin
walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi
." ( Riwayat Bukhari )
Dari hadith di atas nyatalah bahawa
maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan
benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang
,barang atau sesuatu yang bermanafaat.
Sebagaimana diberitakan Rasulullah
s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada
memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin.
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah
pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an,
lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa
surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan
lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan
kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.
Maskahwin itu tidak dihadkan oleh
syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan
banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua
pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf
atau darjat pengantin tersebut.
Hukum syarak tidak menggalakkan
maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan
kesukaran bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud:
" Sebaik-baik maskahwin ialah yang
lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud:
" Sesungguhnya yang besar berkat
nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat
Ahmad )